Peranan guru amat penting dalam memindahkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap kepada pelajar. Guru adalah muallim, murabbi, muaddib, mursyid, pakar rujuk, agen perubahan dan pembentuk masa depan masyarakat dan negara. Guru bertanggungjawab membentuk murid menjadi modal insan yang berguna kepada agama, diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Dalam aspek yang lain, guru juga beungkayah dan bekarih menarik minat pelajar agar mendampingi guru sebagai satu langkah berkesan dalam proses menguasai mata pelajaran yang diajarkan. Guru yang mempunyai penampilan yang baik akan menjadikan dirinya sebagai qudwah kepada pelajar terutama semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Lantaran itu, pendidikan Islam di sekolah perlu merapuskan bukan hanya aspek kesan pengajaran dan penghayatan ajaran Islam dalam kalangan pelajar, iaitu dengan menghayati isi pelajaran pendidikan Islam di sekolah dan mempraktikkannya dengan penuh rasa keikhlasan serta rasa tanggung jawab terhadap Allah, tetapi apa yang penting ialah murid tidak dipaksa menerima fakta-fakta yang abstrak mengenai ajaran Islam yang menjadikan mereka pengamal yang terlalu mekanikal dalam mengerjakan amal ibadat. Kandungan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam tidak sepatutnya hanya melahirkan pelajar yang cemerlang dalam mengingat dan menghafal teori tetapi kurang berupaya dalam menilai dan menghayati teori, malah kurang mahir dari segi praktikalnya.
Kegiatan keilmuan mempunyai kaitan yang sangat erat dengan keutuhan tamadun. Perkembangan ilmu yang mantap dan sistematik akan menjana kekuatan sesebuah tamadun. Dalam hubungan itu, Ibnu Khaldun melalui kitabnya "Muqaddimah" menyatakan bahawa semakin banyak ilmu semakin meningkat pembangunan dan ketamadunan. Beliau menambah bahawa kemajuan yang dicapai oleh kota-kota Baghdad, Cordova, Qayrawan, Basrah dan Kufah adalah rentetan dari perkembangan ilmu pengetahuan. Tetapi apabila bandar-bandar itu mundur maka aktiviti keilmuan juga semakin berkurangan (Mohd. Kamil 2006).
Menurut Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulum al-Din, pembelajaran adalah satu aktiviti sepanjang hayat atau pembelajaran berterusan tanpa henti dan tidak terikat dengan peningkatan usia. Untuk itu, Imam al-Ghazali mengingatkan masyarakat agar berusaha mendapatkan ilmu yang bermanfaat dan tidak menghabiskan masa dengan ilmu yang tidak bermanfaat. Imam al-Ghazali memperkenalkan ilmu bermanfaat sebagai ilmu terpuji (mahmudah) dan ilmu tidak bermanfaat sebagai ilmu terkeji (mazmumah). Selain daripada itu, Ibn Khaldun pula membahagikan ilmu kepada dua, iaitu ilmu naqli dan ilmu aqli. Ilmu naqli merujuk kepada ilmu yang datangnya dari syara' sama ada dari al-Quran dan al-Sunnah. Sementara ilmu aqli pula ialah ilmu yang dijana oleh pemikiran manusia sehingga dapat membezakan antara yang baik dan buruk.
Pada zaman global secara khususnya, pendekatan pembelajaran berterusan amat diperlukan kerana umat Islam mengalami krisis kurang memahami metodologi yang betul dalam mereka-bentuk kurikulum dan kandungan ilmu pengetahuan Pendidikan Islam. Memang mudah mengatakan rujukan adalah daripada al-Quran dan al-Sunnah, tetapi dalam pelaksanaan tidaklah sekubit itu. Ada ketikanya individu gagal memahami Islam secara praktikal yang dicernakan dalam bentuk program dan retorik malah kadang-kadang terkial-kial sehingga akhirnya gagal dioperasi dengan baik, sempurna dan betul. Oleh itu klasifikasi dan metodologi ilmu harus disintesis antara yang lama dan yang baru agar generasi pelapis dapat memahami, menghayati dan mengamalkan ilmu tersebut dengan baik dan sempurna.
Hal ini menunjukkan bahawa ilmu haruslah diterokai sepanjang masa dan berperingkat-peringkat baik di peringkat dasar mahupun di peringkat menengah atau di peringkat universiti. Dalam mereka-bentuk kandungan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam, pandangan tokoh- tokoh ilmuan Islam yang pakar dan berwibawa sama ada pada zaman silam atau masa kini seharusnya dirujuk. Oleh itu, atas dasar tersebut, seminar ini perlu dilaksanakan untuk mengumpul idea dan pemikiran tokoh-tokoh keilmuan Islam.




