Loading Events

« All Events

  • This event has passed.

Program Syarahan Perdana Profesor Siri ke-96 oleh Prof. Dr. Ibrahim Ngah

April 15, 2019 @ 10:00 am - 12:30 pm

Tajuk : Perancangan Luar Bandar Untuk Kesejahteraan Masyarakat

Abstrak

Sejak mencapai kemerdekaan, pembangunan luar bandar telah menjadi agenda penting dalam pembangunan negara bagi menangani masalah kemiskinan, kekurangan, kelemahan dan jurang bandar-luar bandar. Perancangan dan pembangunan luar bandar menjadi teras kepada kelestarian proses transformasi ekonomi, sosial, budaya dan alam sekitar ke arah kesejahteraan masyarakat. Syarahan ini mengupas peranan perancangan dan pembangunan luar bandar dalam mencapai kesejahteraan masyarakat. Bahagian pertama syarahan ini mengulas tentang konsep perancangan dan pembangunan luar bandar dan anjakan paradigma pembangunan luar bandar dengan pengaruh perubahan pemikiran pembangunan. Pengalaman di Malaysia juga menunjukkan terdapat peralihan penekanan dan pendekatan dalam perancangan dan pembangunan luar bandar seperti dari pendekatan ‘atas-bawah’ kepada pengupayaan komuniti, dan dari pembangunan berpaksi infrastruktur serta ekonomi kepada pembangunan berpaksi manusia.

Pembangunan luar bandar telah berjaya mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat desa. Bagaimanapun, kewujudan jurang pembangunan yang disebabkan proses urbanisasi secara berterusan di kawasan metropolitan telah mewujudkan cabaran baru berkaitan dengan pengurangan penduduk di kawasan luar bandar. Bahagian kedua syarahan memberi fokus kepada sumbangan penulis dalam bidang perancangan dan pembangunan luar bandar. Ini termasuk pengajaran, penyelidikan, perundingan, penulisan, dan penglibatan komuniti. Usaha untuk memartabatkan ilmu perancangan dan pembangunan luar bandar telah dilaksanakan oleh penulis melalui penubuhan Rural Research & Planning Group (RRPG) yang turut mengembleng pakar-pakar antarabangsa dalam aktiviti pertukaran ilmu dan pengalaman serta jaringan kerjasama. Bahagian ketiga syarahan mengemukakan beberapa gagasan dan pandangan penulis mengenai laluan pembangunan luar bandar pada masa hadapan bagi mencapai kesejahteraan. Ini termasuk pendekatan dalam perancangan, hala tuju penyelidikan, agenda pembangunan serta tadbir urus bagi mencapai kesejahteraan jangka panjang masyarakat luar bandar.

Details

Date:
April 15, 2019
Time:
10:00 am - 12:30 pm
Event Category:
Event Tags:

Venue

B12, Aras 1, Dewan Konvensyen Fakulti Alam Bina & Ukur (FABU)

Organizer

UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA