Kepemimpinan ialah perihal diberi kuasa untuk menjadi ketua dalam memimpin, iaitu usaha pemimpin mengarahkan orang bawahan melaksanakan suatu pekerjaan bagi mencapai matlamat organisasi. Seseorang pemimpin perlu sentiasa memikirkan hal ehwal dan kebajikan orang yang dipimpin serta mempunyai sikap yang baik dalam keadaan atau situasi yang pelbagai dan tidak menentu. Seseorang pemimpin perlu mempunyai kompetensi untuk mengurus hal ehwal organisasi dengan penuh kebijaksanaan agar mereka yang dipimpin merasai nikmat dari kepimpinan yang matang, berintegriti dan berhemah.
Seseorang pemimpin hanya akan dianggap sebagai pemimpin yang adil apabila dapat melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya dengan sempurna dalam memimpin sesebuah organisasi. Kejayaan, kejelekitan, keceriaan dan kesejahteraan sesebuah organisasi bergantung kepada pentadbiran pemimpin yang menggunakan kuasa yang ada untuk membuat keputusan secara adil dan saksama dalam apa jua keadaan tanpa mengira latar belakang. Sekiranya pemimpin berlaku tidak adil, akibatnya staf menjadi bosan, menentang dalam diam, hilang rasa hormat dan yakin pada pemimpin, hilang rasa kebertanggungjawaban dan komitmen terhadap kerja, hilang rasa percaya dan setia pada organisasi, mengalami tekanan perasaan, stress, burn out, kebimbangan, kemurungan, trauma malahan PTSD..
Kepimpinan adalah amanah Tuhan kepada umat manusia dan merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul. Pemimpin diibaratkan sebagai “pengembala” yang akan diminta bertanggungjawab di atas gembalaannya. Justeru, Islam menempatkan kepemimpinan di tempat yang tinggi, sebagaimana sabda Rasulullah s.aw. yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan disoal tentang kepimpinan kamu”.
Kepimpinan turut perlu mengintegrasikan antara manusia dan Allah (ihsan) dan hubungan manusia sesama manusia (insan). Kepimpinan dalam organisasi menuntut supaya sifat keihsanan yang tinggi tanpa sifat takbur dan sombong membentuk pemimpin sesebuah organisasi mempunyai sifat keinsanan yang tinggi. Hadirnya sifat ihsan boleh mendorong kepada peningkatan kualiti kerja, kualiti organisasi dan kualiti kepimpinan.
Bagi mengupas isu ini dengan lebih lanjut, dengan segala sukacitanya Pusat Kaunseling UTM, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) menjemput seluruh warga UTM untuk menyertai program BICARA MINDA, KEPIMPINAN: ANTARA KUASA, KEADILAN DAN IHSAN SESAMA MANUSIA pada 1 Julai 2021 (Khamis) bermula pada jam 10.00 pagi.