Akademi ini telah dilancarkan oleh Yang Berhormat Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi disaksikan oleh Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia; Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia; Aireen Omar, Presiden (AirAsia Digital) Kumpulan AirAsia dan Marc Woo, Ketua Google Malaysia.
Redbeat Academy akan memberi tumpuan dalam lima segmen, iaitu AirAsia Allstars, badan korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agensi kerajaan, universiti dan orang awam dengan sekurang-kurangnya 100,000 bakat yang akan dimanfaatkan pada setiap tahun untuk memberikan penyelesaian dalam tiga bidang utama: Program Pembangunan Kemahiran, Makmal Betabuild – sebuah program yang ditawarkan oleh AirAsia dengan sokongan Google untuk membantu perusahaan menceburi Perniagaan Digital Baharu – serta Kakitangan, Perkhidmatan Kerjaya dan Pengambilan Kakitangan.
Selain itu, Redbeat Academy juga telah mengumumkan kerjasama dengan Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) untuk membangunkan semula bakat dalam projek Kejuruteraan Perisian dan Teknologi Tinggi (seperti blockchain dan data) dan Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaya dan Asia School of Business yang bekerjasama dengan MIT Sloan Management, untuk memberikan pengesahan pembelajaran (micro-credential) bagi kursus Redbeat Academy dan memperakuinya sebagai sebahagian daripada Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Terdahulu (APEL).
Akademi ini juga meraikan kumpulan graduan pertama yang terdiri daripada 135 AirAsia Allstars, yang telah lulus dalam kursus Digital Fundamentals mereka daripada Program Reskilling & Upskilling yang telah dijalankan secara dalaman dan akan meneruskan karier mereka di dalam bidang teknologi masing-masing.