Lebih 100 orang peserta dikalangan peminat sukan berbasikal dari daerah Johor Bahru hingga ke Muar bersama-sama menjayakan kayuhan sempena Sambutan Jubli Emas 50 tahun Universiti Teknologi Malaysia. Program kayuhan bersama komuniti ini berlangsung pada 1 Oktober dan bermula seawal 8.00 pagi dengan acara pelepasan disempurnakan oleh Yang Berbahagia Profesor Ts. Dr. Mohd Hamdan Haji Ahmad, Timbalan Naib Canselor Pembangunan UTM. Turut hadir sama melepaskan konvoi kayuhan berbasikal disaksikan oleh Yang Berbahagia Profesor Madya Ir. Dr. Norzita Ngadi, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTM Kampus Pagoh.
Peserta bermula dari perkarangan Kampus UTM Pagoh di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh menuju ke Kolej Kemahiran Tinggi MARA Ledang dengan jarak sejauh 25-kilometer dan berpatah balik ke UTM Pagoh mengambil masa lebih dua jam untuk diselesaikan. Kayuhan secara santai turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sampingan sepanjang hentian rehat di KKTM, Kampung Semandar, Kampung Sawah Ring dan Pekan Panchor.
Kayuhan Sambutan Jubli Emas ini disertai oleh pelbagai ahli kelab berbasikal antaranya Kulai Foldies, TayaMox, The Lipatist, Camping Buddies, Pusat Koreksional Johor, Pasukan Prokenn, Kuaters SK Serom 3, ASP JDT, Kelab Geng Serom, Muar Cycling Club, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Pagoh, Kelab Belia Siswa Pagoh, Macap Cycling Club, Santai Cyclist, Geng Gerek Raleigh Club, Institut Latihan Kesihatan Melaka, Speda Lipat, Parit Sulung Foldies, BPI Foldies, Desaru Foldies, Geng Lipat Muo, UiTM Jasin, Kelab Basikal Pagoh Jaya, RHB Bank Berhad, Foldies Familia, Melaka Foldies, Politeknik Tun Syed Nasir Pagoh, Kelab Berbasikal Inas dan staf UTM Pagoh.
Penghargaan dan terima kasih diberikan kepada Ibu Pejabat Polis Muar dan Ibu Pejabat Polis Tangkak yang membantu menjaga keselamatan peserta sepanjang kayuhan. Turut menjayakan program ini melibatkan Pusat Kesihatan Universiti Teknologi Malaysia, Pengurusan Pengangkutan Fleet UTM dan Bahagian Keselamatan UTM, penganjur program kayuhan berkenaan.