Satu Perjanjian Kerjasama telah dimeterai oleh Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains, dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Perbadanan Muzium Negeri Pahang (PMNP) di Hyatt Regency Kuantan Resort, Pahang pada 18 November 2021, Khamis. Perjanjian kerjasama di antara RZS-CASIS dan PMNP melibatkan program pembangunan keilmuan seperti penyelidikan, penganjuran wacana ilmu, bengkel dan latihan pemantapan staf dan penerbitan selama 3 tahun.
Kerjasama ini telah bermula melalui pemberian geran kepada RZS-CASIS untuk melakukan penyelidikan Karya Ḥill al-Ẓill dan Jawāhir al-‘Ulūm oleh Nur al-Din al-Raniri (di bawah Prof. Dr. Muhammad Zainiy Uthman) dan Sumber Historiografi Pahang: Kajian Terhadap Koleksi Muzium Pahang (di bawah Prof. Dr. Tatiana Denisova).
Selain itu, Prof. Dr. Zainiy juga telah dilantik sebagai Sarjana Ulung Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah (AL-ASAR) untuk memberi khidmat nasihat mengenai falsafah dan hala tuju Pusat Kajian yang baru ditubuhkan. Antara tugas utama yang beliau telah lakukan ialah memperolehi koleksi nadir dan manuskrip untuk rujukan dan penyelidikan di Kutubkhanah Diraja Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah.
Pada Majlis Persidangan Diraja, pihak RZS-CASIS berbesar hati kerana Profesor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail, Naib Canselor UTM sudi hadir untuk memeterai Perjanjian Kerjasama bagi pihak RZS-CASIS, UTM dan PMNP.
Persidangan Diraja juga dicemar duli oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj yang menyampaikan Titah Diraja bertajuk “Peranan Istana dan Kesinambungan Bangsa”.
Turut membentangkan kertas kerja ialah Dato’ Ahmad Farid bin Abd. Jalal (Pengarah PMNP), Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar bin Haji Shamsuddin (Pengerusi PMNP), Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz (Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM), Prof. Dr. Muhammad Zainiy Uthman (RZS-CASIS), Prof. Madya Dr. Hamidin bin Abdul Hamid (Jabatan Sejarah, UM), Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A. Harris (Pengarah RZS-CASIS), Prof. Dr. Tatiana Denisova (RZS-CASIS), Prof. Dr. Farish Noor (Jabatan Sejarah, UM), Prof. Madya Dr. Rahimin Affandi bin Abdul Rahim (Akademi Pengajian Islam, UM), dan En. Muhammad Syukri Rosli (Pengerusi, Akademi Jawi Malaysia).
Selain penglibatan pensharah-pensharah RZS-CASIS sebagai pembentang utama dalam Persidangan ini, warga RZS-CASIS yang lain turut terlibat secara langsung dan aktif dalam pelaksanaannya, seperti Dr. Mohd Hilmi bin Ramli (Pensharah Kanan RZS-CASIS) sebagai Moderator Sesi Ketiga Persidangan Diraja pada 19 Nov, Jumaat, Hazfarahin Md Ali (Pelajar MPhil) dan Luqman Johani (Pelajar PhD) sebagai Pencatat perbincangan sepanjang Persidangan.