Nikotin merupakan hasil tembakau yang terdapat dalam rokok menyebabkan ketagihan, iaitu sejenis gangguan otak kronik. Penggunaan berpanjangan menghasilkan kebergantungan fisiologi serta dorongan yang kuat untuk menggunakan tembakau. Merokok pula diketahui menjadi faktor risiko pelbagai jangkitan saluran pernafasan dan meningkatkan tahap keseriusan penyakit saluran pernafasan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengguna tembakau mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti Covid-19 melalui mulut semasa merokok atau menggunakan produk tembakau yang lain. Perokok juga lebih berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti virus COVID-19. Ini kerana merokok merosakkan paru-paru atau mengakibatkan radang paru-paru, seterusnya melemahkan sistem imuniti perokok. Maka, ini meningkatkan risiko perokok terhadap jangkitan bakteria dan virus terutama ketika wabak COVID-19.
Dapatan awal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2020 menunjukkan terdapat perkaitan antara merokok dan faktor risiko penyakit tidak berjangkit. Kajian telah dijalankan terhadap 86 daripada jumlah pesakit COVID-19 yang sudah meninggal dunia di Malaysia. Hasilnya, didapati 19.8%, iaitu seramai 17 orang adalah terdiri daripada perokok.
Bagi mengupas isu ini dengan lebih lanjut, dengan segala sukacitanya Pusat Kaunseling UTM, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) menjemput seluruh warga UTM untuk menyertai program BICARA MINDA, NIKOTIN & COVID-19: TAHUKAH ANDA? pada 6 Julai 2021 (Selasa) bermula pada jam 10.00 pagi.