Pendeta Agung Za’ba mencirikan konsep merdeka sebagai ‘berubah daripada segala perbuatan dan kepercayaan yang jahil atau mematikan akal atau menyekat kemajuan kepada perbuatan dan kepercayaan yang cerdik, membebaskan fikiran dan menggalakkan kemajuan’. Pada pandangan beliau, kemerdekaan yang sebenar adalah kemerdekaan minda dan jiwa yang dipupuk menerusi pembinaan jati diri yang dibentuk oleh empat aspek utama: agama, bahasa, pendidikan dan sikap (akhlak).
Dalam pembinaan jati diri dan jiwa yang merdeka, ada pelbagai cara untuk menentukan sama ada anda berjaya dalam perjuangan memerdekakan diri daripada penjara mental lemah dan negatif hingga menghilangkan kebahagiaan dan semangat hidup. Persoalan untuk mencari keseimbangan antara kehidupan luaran dan dalaman diri anda adalah misi besar dalam mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan diri anda yang sangat bermakna. Berfikir secara berlebihan dan negatif dapat menunjukkan fikiran dan faktor negatif luaran dalam senyap sedang memusnahkan ketenangan dalaman anda dan sekaligus menggugat keseimbangan diri anda. Tambahan pula, rasa lemah menyebabkan kita sering bergantung pada faktor luaran sahaja untuk menentukan tahap keinginan dan misi kehidupan dan sumbangan kita kepada umum. Pada akhirnya, kita mula tinggal di penjara mental di mana tanpa sedar sedikit demi sedikit mengakibatkan kita hilang kuasa dalam menguasai dan mengawal diri dan membenarkan kawalan sekeliling yang memandu kita. Walhal kita sedia maklum bahawa kekuatan dan kawalan dalaman adalah kunci yang mampu mendorong kita untuk secara aktif memenuhi tujuan hidup untuk kemajuan diri yang juga memberi impak kepada kepentingan organisasi dan masyarakat.
Bagi mendukung semangat kemerdekaan, kami daripada Pusat Kaunseling UTM, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi Malaysia dengan segala sukacitanya menjemput anda untuk menyertai Program Inspirasi Merdeka, Kemerdekaan Jiwa: Misi Berubah dan Mencari Makna Kebahagiaan pada 30 Ogos 2021 bermula pada jam 10.00 pagi.
Pautan Pendaftaran Program adalah seperti berikut https://forms.gle/jTWFmfoi1GxntGPf6 atau imbas QR CODE di poster yang disediakan.