Menjunjung kasih di atas perkenan Tuanku Canselor UTM, DYMM Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor menyempurnakan Sesi II Sembang Santai bersama Pelajar Kolej Tuanku Canselor (KTC), Kolej Dato’ Onn Jaafar (KDOJ), Kolej Tun Razak (KTR), Kolej Tun Fatimah (KTF), Kolej Rahman Putra (KRP), Kolej Perdana (KP) dan Kolej 9/10.
Di dalam sesi ini, DYMM Tuanku Permaisuri Johor sentiasa memberikan kata-kata semangat dan menyuntik motivasi para pelajar dalam menghadapi situasi PKPD di UTM sejak 21 Mei 2021.
DYMM Tuanku Permaisuri turut memaklumkan terdapat beberapa pertandingan sedang dilaksanakan oleh Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dan Hal Ehwal Pelajar untuk para pelajar UTM sertai; seterusnya dapat meredakan tekanan yang dihadapi oleh mereka ketika ini.
Keprihatinan yang ditunjukkan oleh DYMM Tuanku Permaisuri Johor merupakan suntikan semangat kepada kami warga UTM. Seluruh warga UTM khususnya, merafak sembah menjunjung kasih di atas keprihatinan DYMM Tuanku.