KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, yang juga merupakan Canselor UTM, berkenan mengurniakan sumbangan juadah Hari Raya Aidiladha kepada pelajar antarabangsa UTM di kampus Johor Bahru hari ini.
Seramai 900 pelajar antarabangsa UTM telah menerima kurniaan menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) yang dinaungi oleh KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Sesi penyerahan sumbangan telah diadakan di foyer Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim sejurus selesai Solat Sunat Hari Raya Aidiladha di Masjid Sultan Ismail dan turut disertai oleh Naib Canselor UTM, YBhg. Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan YRZSNJ, YBrs. Encik Hishamuddin Abdul Rahim, Timbalan Pengarah UTM International, YBrs. Prof. Madya Dr. Norahim Ibrahim, dan Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor, YBrs. Encik Jaffrey Sambul Bahrin.
Sementara itu, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi juga menitipkan ucapan menjunjung kasih di atas kurniaan sumbangan daripada Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor.
“Bagi pihak UTM dan penerima sumbangan, patik merafak sembah serta menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor.”
“Sumbangan pada pagi yang mulia ini adalah refleksi kepada keprihatinan Seri Paduka Baginda kepada kebajikan pelajar-pelajar UTM dalam apa jua keadaan dan Baginda amat dikasihi oleh warga universiti ini,” katanya.