Kolaborasi bersama industri, Software Engineering Research Group (SERG), Sekolah Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor (JKSNJ) membentuk jalinan kerjasama dalam kajian penambahbaikan proses perniagaan agensi tersebut. Kos projek kerjasama awal ini dibiayai syarikat hiliran UTM yang merupakan Tanggungjawab Sosial Korporat mereka.
Lawatan yang diketuai oleh Ketua Hakim Syarie JKSNJ, Yang Amat Arif Tuan Haji Muhammad Khaldun bin Muhammad Sharif tersebut telah melibatkan 12 orang staf dari JKSNJ terdiri daripada dua orang Hakim Syarie serta pegawai-pegawai tadbir dan IT. Pelbagai ilmu, idea dan amalan terbaik dikongsikan bersama antara kedua-dua pihak sepanjang bengkel tersebut. Kerjasama tersebut dijalankan dengan menjalani bengkel susulan di Sekolah Komputeran bersama pihak berkepentingan dari JKSNJ untuk mendapatkan maklumbalas proses carta alir untuk tujuh modul yang telah dikenalpasti. Keseluruhan projek adalah untuk Pembaikan Proses Perniagaan (BPI) JKSNJ dengan menilai dan merancang semula proses perniagaan yang ada untuk meningkatkan kecekapan, aliran kerja dan pengeluaran di JKSNJ.