Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkukuhkan jalinan kerjasama strategik dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (atau lebih dikenali sebagai MIROS) melalui pelaksanaan majlis menandatangani dan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) yang dilaksanakan di UTM Kuala Lumpur pada 17 Mac 2022. Memorandum tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail manakala MIROS diwakili oleh Ketua Pengarah, Dato’ Dr Khairil Anwar bin Abu Kassim. Majlis ini disaksikan oleh Pengerusi MIROS Prof. Dr. Wong Shaw Voon, serta pegawai-pegawai tinggi UTM dan MIROS yang lain.
Untuk makluman, UTM dan MIROS telah menjalinkan kerjasama sejak tahun 2008 lagi melalui pelbagai aktiviti. Dengan kepakaran sedia ada di UTM dan MIROS, MOU yang dimeterai ini akan terus memfokuskan kepada aktiviti-aktiviti bermanfaat merangkumi pembangunan bakat holistik, upskilling & reskilling staf, pemerkasaan penyelidikan, pengkomersialan & inovasi, serta meningkatkan jalinan hubungan strategik dengan rakan industri-kerajaan-komuniti dalam negara dan juga ASEAN terutamanya berkaitan dengan keselamatan jalan raya. Usahasama ini akan diselaraskan oleh Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) selaku penyelaras kerjasama UTMxMIROS diketuai oleh Prof. Madya Ir Ts Dr Nurulakmar binti Abu Husain.
Hubungan di antara kedua-dua pihak adalah sejajar dengan intipati UTM enVision 2025 serta perubahan landskap pendidikan tinggi. Selain itu, perjanjian ini boleh menjadi titik tolak ke arah peningkatan tahap keselamatan jalan raya bagi mengurangkan kadar kematian dan kecederaan jalan raya sebanyak 50% menjelang tahun 2030 sepertimana saranan Sustainable Development Goals (SDG) 2030.
Komitmen kedua-dua pihak dalam mengenalpasti projek-projek atau intervensi-intervensi yang akan menyumbang kepada pembangunan keselamatan jalan raya, ekonomi, industri dan teknologi bukan sahaja bagi kepentingan kedua-dua pihak, UTM dan MIROS tetapi juga untuk negara Malaysia tercinta.