Sejajar dengan hasrat kementerian yang mengemukakan gagasan “Sekolah untuk Komuniti, Universiti untuk Masyarakat”, kerjasama yang erat antara universiti dan pihak sekolah perlu diperkukuhkan. Ia juga penting untuk menyokong teras utama universiti dalam pendidikan yang bekerjasama rapat dengan semua pemegang taruh khususnya pihak sekolah.
Pihak Pusat Jaringan Komuniti & Industri (CCIN) telah mengambil satu inisiatif bagi pengukuhan kolaborasi bersama pihak sekolah melalui Program UTM Prospering Lives : Universiti Bersama Sekolah yang dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 4 (SKTU4) dengan kerjasama pihak Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS).
Program seumpama ini julung kali diadakan di mana memberi fokus seorang Naib Canselor lebih dekat bersama komuniti. Lebih-lebih lagi komuniti dalam radius paling terhampir adalah sekolah. Telah banyak program yang dijalankan oleh fakulti dan begitu banyak perancangan telah dirangka bersama.
Pertemuan bersama pihak sekolah oleh Naib Canselor sendiri adalah untuk memperlihatkan kesungguhan komitmen Universiti terhadap sekolah untuk sama-sama mendokong cita-cita bersama sekaligus merapatkan ukhwah.
Yang Berbahagia Prof Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar juga seterusnya merasmi Program Sekolah Angkat bersempena dengan Program Motivasi dan Iringan Restu Ibu Bapa yang dijalankan serentak bersama majlis ini dengan disaksikan oleh Guru Besar SKTU4, Tuan Haji Zulkarnaiin bin Masrin. Turut hadir adalah Yang Berusaha Puan Noritah binti Alwi, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Pembelajaran) Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru dan Pengarah CCIN UTM, Prof. Madya Dr. Johari bin Surif juga dimemeriahkan dengan kehadiran 149 murid bersama ibu bapa masing-masing.
Pengukuhan kelestarian dapat dilihat dengan jelas dalam program Sekolah Angkat ini di mana banyak program Universiti bersama Sekolah diadakan sepanjang tahun seperti :
i. Saya Seorang Graduan
ii. Teknik Menjawab Soalan UPSR
iii. Motivasi Pelajar Fasa II
iv. Motivasi Ibubapa Fasa II
v. “Saat Akhir Hadapi UPSR”
vi. Restu Ibubapa
vii) Majlis Anugerah dan Tamat Sekolah
Semoga program seperti ini dapat diteruskan dan hasrat murni seorang Naib Canselor untuk turut serta bersama-sama turun kepada masyarakat direalisasikan seperti termaterinya ” Kerana Tuhan Untuk Manusia”.