YaPEIM Sumbang Makanan Tengah Hari kepada Pelajar B40 UTM
February 10, 2021 @ 12:00 pm - 1:00 pm
Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menerusi program bantuan Food Bank yang diketuai Pengurus Pusat Pentadbiran YaPEIM, Johor, En. Tajul Ariffin bin Harun telah menyumbangkan makanan tengah hari kepada 200 orang pelajar B40 UTM.
Program Bantuan Food Bank berbentuk makanan bermasak (Ready to Eat) yang disasarkan kepada pelajar B40 UTM akan berjalan selama dua hari sehingga 11 Februari.
YaPEIM akan meneruskan sumbangan Food Bank ini sebanyak enam (6) kali. Agihan sumbangan sesi pertama dan kedua telah selesai dilaksanakan pada 23 Disember 2020 dan 13 Januari 2021 yang lalu.
Setiap sesi agihan, 200 orang pelajar terpilih akan menerima satu (1) set makanan tengah hari bernilai RM7.00/seorang mengikut pecahan dari semua kolej kediaman dengan bantuan pihak Pengetua dan Felo masing-masing.
Agihan sumbangan sesi kelima dan keenam akan diteruskan pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Pada kali ini, agihan makanan dan minuman telah dikendalikan oleh staf kolej kediaman dan dilaksanakan secara drive thru di hadapan Unit fotokopi Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) dan dibawa ke pejabat kolej masing-masing dengan disiplin SOP yang terkawal bagi mengelakkan suasana sesak.
Program ini bertujuan meringankan bebanan wang saku pelajar.
Pelajar tentunya merasa gembira kerana ada pihak yang prihatin dengan situasi sekarang.
Kesan wabak COVID-19 dan masalah banjir yang berlaku, ada antara keluarga mereka yang mengalami kemusnahan harta benda, kehilangan mata pencarian dan menghadapi kekurangan pendapatan.
Dengan bantuan ini, tentunya pelajar dapat berhemah dalam menguruskan perbelanjaan sepanjang berada di kolej.