Zakat Perniagaan: RM 100 Ribu Dari UTM Holdings Kepada Kaunter Kutipan Zakat UTM-PPZ MAIWP
November 25, 2021 @ 8:00 am - 5:00 pm
Satu majlis penyerahan mock cek Zakat Perniagaan oleh UTM Holdings berlangsung pada 25 November 2021 di hadapan Kaunter Kutipan Zakat UTM-PPZ MAIWP.
Majlis yang ringkas tapi amat bermakna itu disempurnakan oleh YBhg Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Ramli bin Kushairi, Pengerusi Lembaga Pengarah UTM Holdings, yang menyampaikan mock cek dengan jumlah RM100 ribu untuk bayaran zakat perniagaan UTM Holdings, kepada YBhg. Tan Sri Azman bin Hj. Mokhtar, Pengerusi Lembaga Pengurusan Universiti bagi mewakili UTM.
Penyerahan tersebut disaksikan oleh Prof. Ts. Dr. Abd Latif bin Saleh, Pro-Naib Canselor Kampus UTM KL, dan En Ahmad Kamil bin Ahmad Kushairi, CEO UTM Holdin. Turut hadir Ybrs. Haji Najib bin Masroom, Ketua Pentadbiran UTMKL dan Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, Timbalan Pengarah Pusat Islam UTMKL.
Dalam ucapan alu-aluan sebelum itu, Muhammad Fathi menjelaskan bahawa pihak Pusat Islam UTMKL dan Kaunter Kutipan Zakat UTM-PPZ MAIWP amat mengalu-alukan mana-mana syarikat ‘spin off’ di UTM atau syarikat milik alumni UTM untuk menunaikan kewajipan zakat perniagaan melalui Kaunter Kutipan Zakat UTM-PPZ MAIWP. Pembayar zakat perniagaan mempunyai peluang untuk mendapat perkembalian sebanyak 25-50% melalui sistem wakalah MAIWP untuk diagihkan kepada asnaf. Tawaran ini juga terbuka pembayar zakat individu yang memenuhi bayaran syarat yang ditetapkan.
Menurut Muhammad Fathi, Pusat Islam UTMKL bersedia menyediakan khidmat pembudahcara bagi urusan pembayaran zakat dan permohonan perkembalian melalui sistem wakalah. Selain itu pihak yang memohon perkembalian dipelawa untuk mengadakan kerjasama dengan Pusat Islam UTMKL bagi melaksanakan program bantuan kepada asnaf atau program kemasyarakatan untuk membela nasib golongan terpinggir dan kurang bernasib baik.
Di samping itu, selain daripada kaunter tetap di Masjid UTMKL, pihak Kaunter Kutipan Zakat UTM-PPZ MAIWP juga membuka kaunter perkhidmatan zakat di UTM Residensi yang bermula 22 November hingga 31 Disember 2021, bagi memudahkan pembayar zakat menyempurnakan kewajipan berzakat untuk tahun 2021.